BERITA DAN AKTIVITI

Seminar Pengukuhan Akidah Islam

SHAH ALAM, 30 Januari 2024 – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengadakan Seminar Pengukuhan Akidah Islam dengan kerjasama INTEC Education College Shah Alam (INTEC). Seminar ini diadakan dengan matlamat agar pelajar-pelajar INTEC mendapat kefahaman mengenai akidah Islam sebenar, mendapat penjelasan mengenai prinsip-prinsip akidah Islam yang sebenar serta mendapat kesedaran agar memelihara dan menjaga akidah Islam.

Seramai 350 orang peserta yang terdiri daripada pelajar persediaan melanjutkan pengajian ke luar negara, pensyarah dan kakitangan mendapat ilmu dan perkongsian daripada dua orang pegawai JAIS iaitu Penolong Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Gombak, Tuan Haji Hilmi bin Saadan dengan tajuk Islam Adalah Cara Hidup dan Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan, Tuan Haji Sharom bin Maarof menyampaikan ceramah bertajuk Kepercayaan Kepada Allah.

Majlis perasmian penutup dimulakan dengan penyampaian ucapan aluan oleh Pengarah Akademik dan Hal Ehwal Pelajar INTEC YBrs. Dr. Nor Bahiyah Omar dan ucapan perasmian oleh Sahibus Saadah Pengarah JAIS Dato’ Haji Mohd Shahzihan bin Ahmad.

Sahibus Saadah dalam ucapannya menyatakan bahawa prinsip dan falsafah akidah yang dibawa oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah hendaklah dipegang dan diamalkan di semua kedudukan, tempat, masa dan keadaan. Mempertahankan prinsip dan falsafah akidah bukanlah bermaksud menjadi orang yang ekstrim lalu menolak ruang perbincangan dan melakukan tindakan berbentuk kekerasan, bukan juga maksudnya menjadi orang yang sentiasa menyalahkan orang lain, memandang rendah orang lain atau menjadikan diri terperosok di tengah perlumbaan dan persaingan mencari ilmu dan pengetahuan.

Selain itu, Sahibus Saadah Pengarah JAIS juga menyeru agar semua peserta dapat menjadi insan mulia dan menjunjung tradisi qudwah hasanah serta rahmat keagungan Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW kepada sekalian alam. Turut hadir dalam majlis perasmian penutup seminar ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS Puan Nor Azimah binti Azmi dan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Puan Wan Noorliza Wan Abdullah Sani.

#jabatanagamaislamselangor

#islamicsaviourobedience

#kitaselangor