BERITA DAN AKTIVITI

Majlis Pelancaran Laman Web Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor Dan Penyerahan Dana Tabung Kemanusiaan Palestin Shah Alam

24 November 2023 – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Pelancaran Laman Web Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Mengiringi baginda Tuanku, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Hadir sama Exco Agama Negeri Selangor, Dr Fahmi bin Ngah, Pengerusi MAIS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Mufti Selangor, Dato’ Dr. Haji Anhar bin Opir dan Pengarah JAIS, Dato’ Haji Mohd Shahzihan bin Ahmad.

Laman web khutbah JAIS ini dibangunkan atas titah DYMM Tuanku untuk dijadikan medium ilmu melalui perkongsian teks khutbah, khutbah multimedia, infografik, petikan dan berita-berita berkaitan. Laman web e-Khutbah memuatkan himpunan teks khutbah bermula dari tahun 2000 sehingga kini, dengan dikemaskini setiap minggu. Laman web ini juga menyediakan ruang maklum balas kepada jemaah untuk membuat penilaian terhadap isi kandungan khutbah yang disampaikan untuk tujuan penambahbaikan.

Untuk rekod, teks khutbah JAIS dari tahun 2000 sehingga 2010 adalah dalam format tulisan Jawi sahaja manakala bermula 2011 teks khutbah JAIS adalah dalam format tulisan Jawi, Rumi dan juga diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris. Laman web e-Khutbah juga menyediakan infografik dan multimedia khutbah untuk dipaparkan secara digital di masjid-masjid dan surau-surau di negeri Selangor ketika khutbah Jumaat diadakan.

Dalam majlis yang sama, Baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan Dana Tabung Kemanusiaan Palestin hasil daripada kutipan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) dengan jumlah RM4,374,280.63 kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff.

Terdahulu, DYMM Sultan Selangor telah menitahkan agar pengumpulan dan penyaluran sumbangan rakyat Selangor dapat dibuat dan diselaraskan melalui TIJARI bermula 13 Oktober 2023. JAIS melalui TIJARI telah menubuhkan Tabung Kemanusiaan Palestin bagi menyelaras semua kutipan dana yang dikumpul daripada seluruh masjid dan surau di negeri Selangor sejak 13 Oktober 2023 sehingga 24 November 2023.

#jabatanagamaislamselangor

#islamicsaviourobedience

#kitaselangor