BERITA DAN AKTIVITI

Lawatan Kerja dan Kursus Tahsin Tilawah Imam dan Guru Agama Vietnam ke Jabatan Agama Islam Selangor

Jumaat, 24 November 2023 – Bahagian Pendidikan Islam, JAIS telah menerima kunjungan deligasi 18 orang Imam dan Guru Agama Vietnam sempena Lawatan Kerja dan Kursus Tahsin Tilawah bermula 19 November hingga 1 Disember 2023 di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor ( MITS) Pandan Indah, Hulu Langat dan Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Hulu Langat.

Deligasi dari Vietnam tiba di Jabatan Agama Islam Selangor jam 10.15 pagi dari MITS Pandan Indah, kemudian menuju ke Bahagian Pendidikan Islam JAIS, di Tingkat 2, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah.

Para deligasi disambut oleh para pegawai diketuai oleh Tuan Hj. Muhammad Asmadi bin Mustakim, Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Islam, JAIS. Sesi pertemuan, ramah mesra dan perbincangan telah dilakukan selama satu jam  bagi memperkenalkan Jabatan Agama Islam Selangor dan membincangkan mengenai isu-isu Pendidikan Islam di Vietnam.

Setelah selesai sesi kunjungan ke Bahagian Pendidikan Islam, JAIS, para deligasi telah dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam bagi menunaikan Solat Fardhu Jumaat. Selepas itu, mereka dibawa melawat dan menggunapakai peralatan di Bilik Audio Visual Akedemi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) yang diketuai oleh S.F Ustaz Muhammad Farhan bin Wijaya, Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Seterusnya, deligasi Imam dan Guru Agama Vietnam hadir ke Majlis Lawatan Kerja dan Penyerahan Cek Sumbangan PKNS untuk Program Pendidikan di Vietnam. Kemudian, semua tetamu dibawa melawat kelas di SRA Seksyen 3, Shah Alam.

Para deligasi juga telah dibawa melawat sekitar Kuala Lumpur antaranya Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Dataran Merdeka, Masjid Negara dan Istana Negara. Semoga kunjungan dan lawatan yang diatur menjadi manfaat dan kenangan buat para deligasi sebelum pulang ke Vietnam nanti.