BERITA DAN AKTIVITI

Pelancaran Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan Dan Aset Masajid Dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023

KLANG, 7 Disember 2023 – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Pelancaran Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan Dan Aset Masajid Dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 di Istana Alam Shah, Klang.

Turut berkenan berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Hadir sama Exco Agama Islam, Dr. Fahmi Ngah Pengerusi MAIS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah JAIS, Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad.

Buku garis panduan terbitan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ini adalah berdasarkan keperluan semasa bertujuan meningkatkan tahap tatakelola dan tadbir urus di masjid dan surau di negeri Selangor supaya lebih cekap dan telus. Sultan Selangor dalam majlis yang sama bertitah supaya pentadbir masjid dan surau mengambil berat terhadap pengurusan kewangan, perolehan dan pengurusan aset agar masyarakat lebih yakin terhadap kredibilti dan integriti institusi masjid di Selangor.

Titah baginda lagi, masjid dan surau perlulah disemak dan diperiksa dengan penyediaan Penyata Kewangan Tahunan Beraudit bagi mengelakkan ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Rentetan dari titah dan pelancaran buku garis panduan ini adalah diharapakan masjid dan surau di negeri Selangor dapat menjalankan tanggungjawab mengurus kewangan, perolehan dan aset dengan lebih cekap. Pengurusan masjid yang telus dan cekap adalah diyakini dapat mengangkat kemuliaan dan rasa hormat masyarakat terhadap institusi masjid sekaligus menjadikan masyarakat yakin untuk menyalurkan infak dan sumbangan kepada masjid dan surau di negeri Selangor.

#jabatanagamaislamselangor

#islamicsaviourobedience

#kitaselangor