|
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, mantan
Mufti Perlis telah ditahan oleh Penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Selangor
(JAIS) di sebuah rumah banglo di Taman Seri Ukay, Hulu Klang pada 1 November,
2009 yang lalu kerana disyaki mengajar tanpa tauliah di hadapan kira-kira 200
orang.
Menurut Enakmen Pentadbiran Agama
Islam (Negeri Selangor) tahun 2003 (EPAINS 2003), Seksyen 119 (1) menyebutkan "Mana-mana orang yang mengajar agama Islam
atau perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah
seksyen 118 adalah melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan boleh
didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak
melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, SS Pengarah, JAIS Dato'
Haji Mohammed Khusrin bin Munawi, pada sidang medianya pada 2 November, 2009
mengesahkan bahawa, Dr. Asri ditahan atas kesalahan mengajar tanpa tauliah.
JAIS telah beberapa kali mengingatkan Dr. Asri agar memohon tauliah jika ingin
berceramah di Selangor tetapi peringatan ini tidak diendahkan oleh beliau.
Menjawab pertanyaan media, mengapa
baru sekarang tangkapan dilakukan, beliau menjelaskan JAIS telah lama memantau
pergerakan Dr. Asri dan sering menemui kegagalan apabila hendak membuat
tangkapan.
Sementara itu, Dato' Khusrin
menjelaskan dakwaan ke atas Dr. Asri akan dibuat secepat mungkin setelah kertas
siasatan selesai disediakan oleh Bahagian Pendakwaan, JAIS. Menjelaskan
kekeliruan yang timbul kerana tiada pertuduhan dibuat, walaupun tertuduh diarah
hadir ke mahkamah, beliau menjelaskan, tertuduh diarah hadir ke mahkamah bagi
memlanjutkan bon jaminan.
Di akhir, sidang medianya, Pengarah,
JAIS menyangkal dakwaan tangkapan Dr. Asri ada kaitan dengan ajaran sesat
seperti mana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah masyarakat.
Sidang media turut dihadiri oleh YAD
Dato' Setia Haji Mohd Tamyes bin Abdul Wahid, Mufti Negeri Selangor dan Tuan
Mohd Shukor bin Abdul Hamid, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor. Sidang
media diadakan di Jabatan Agama Islam Selangor pada 2 November, 2009 jam 3.30
petang, Seramai hampir 20 rakan media hadir dalam sidang akhbar tersebut,
Disediakan Oleh : Unit Perhubungan Awam
Jabatan Agama Islam Selangor
|