Shah Alam, 14 Februari 2025 – Unit Integriti Dan Tatatertib, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama SPRM Negeri Selangor telah menganjurkan Program Ikrar Bebas Rasuah Bersama Kontraktor dan Pembekal Lantikan JAIS di Auditorium Dewan Syarahan Dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Seramai 40 orang kontraktor dan pembekal lantikan JAIS telah melafaz ikrar dengan diketuai oleh wakil kontraktor, Encik Syazwan Aiman bin Shafie dari Syarikat MAZA Services. Lafaz Ikrar Bebas Rasuah ini telah disaksikan oleh Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negeri Selangor, Pengarah JAIS, Timbalan Pengarah dan Penolong Pengarah Unit Integriti dan Tatatertib JAIS yang turut mengiringi sesi lafaz ikrar ini.
Antara pengisian program ini turut diadakan sesi dialog bertajuk “Tatakelola Dalam Perolehan” di mana panel bagi sesi dialog disampaikan oleh Tuan Rosmadi bin Kasim, Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat, SPRM Negeri Selangor dan bersama moderator daripada JAIS iaitu Ustazah Maryam binti Md Zin, Penolong Pengarah Hal Ehwal Islam.
Program yang dilaksanakan ini memberi penekanan kepada pemantapan integriti serta usaha dalam membendung isu rasuah dalam kalangan kontraktor dan pembekal. Ikrar Bebas Rasuah ini adalah sebagai satu janji, satu akad dan satu komitmen dalam usaha menolak rasuah di Jabatan Agama Islam Selangor. Di samping itu, diharap ianya dapat mengikat barisan warga JAIS dan para kontraktor agar lebih telus, bertanggungjawab dan berintegriti dalam melaksanakan tugas serta menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti rasuah.




