PERUTUSAN PENGARAH JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR

Assalamualaikum WBT.,

Segala pujian hanya kepada Allah SWT yang mempunyai kuasa pemerintahan, yang memberi dan mencabut kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sentiasa membimbing, menteladani dan memandu kehidupan kita semua di dunia ini.

Selaku pewaris kecemerlangan pimpinan sebelumnya, saya akan mengekalkan yang baik dari masa lalu dan akan berusaha mencipta kebaikan-kebaikan baru. Gabungan kebaikan masa lalu dan apa- apa juga kebaikan pada masa kini nantinya akan menjadikan JAIS lebih baik, cemerlang dan diteladani. Insyaallah.

Jabatan Agama Islam Selangor merupakan satu organisasi yang sangat besar peranannya kepada Islam, masyarakat, negeri dan negara. Justeru, saya berhasrat memastikan kekuatan sumber guna  tenaga JAIS  di pelbagai peringkat dan cawangan dapat digerakkan bersama terus ke hadapan melalui konsep organization centric. Ekologi sebuah organisasi yang dibentuk melalui jajaran semua titik-titik fungsi, tanggungjawab dan kebolehpercayaan melalui kesatuan niat, kefahaman, tekad, langkah sederap menuju hasrat atau misi dan visi bahagian dan jabatan yang disepakati bersama. Justeru, jabatan akan berusaha memberi pengalaman yang memuaskan kepada warga kerja, dapat mendengar masalah dan menyelesaikan semua isu yang terkait dengan mereka, merancang penambahbaikan, pembetulan dan pencegahan secara bersama. Untuk itu adalah penting mewujudkan komunikasi down to top secara berterusan, menganggap setiap warga kerja adalah unsur penting untuk meningkatkan penyampaian dan perkhidmatan jabatan serta peningkatan pengalaman pegawai atasan dan akhirnya memasukkan pengalaman warga kerja dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ukuran utama kejayaan jabatan. Iman, trust, perfect environment dan loyalty adalah garis pembawah kepada kejayaan organization centric ini.

Institusi masjid dan keluargaam adalah nukleus atau pusat kawalan penting dalam usaha membina semula keharmonian, persaudaraan, kesatuan dan ketamadunan umat. Kedua-dua institusi ini perlu dijana dan diupayakan pada tahap paling maksimum agar menjadi latar yang benar dalam pembetukan negara bangsa. Konsep dakwah dan pendidikan semasa akan dinilai semula agar ianya menjadi medium yang berkesan dan ampuh dalam pembangunan umat. Beberapa proses dan tatacara juga akan dinilai semula bersama-sama bagi menjamin ketelusan, integriti dan penyampaian perkhidmatan yang lancar dan berkesan kepada pelanggan.

Akhirnya, saya sangat berharap dan berdoa agar semua warga JAIS sentiasa di bawah rahmat dan keampunanNya dalam memberi kelangsungan yang saya cita-citakan ini. Bersama- sama saya berkarya, berfikir dan bertindak “keras” memartabatkan agama Islam, organisasi Islam dan institusi Islam keseluruhannya di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam bagi Negeri Selangor.

Sekian. Terima kasih.

Salam hormat dari saya.

MOHD SHAHZIHAN BIN AHMAD

S.M.S., P.P.T.

 


Tarikh Akhir Kemaskini :: 13 September 2019 06:32 PM