|
Berkurun-kurun lama dahulu, kerajaan Islam Sepanyol yang telah lama
bertapak di sana
telah menghadapi kekalahan di tangan tentera Kristian. Maka penduduk-penduduk
Islam di Sepanyol terpaksa berlindung di dalam rumah mereka untuk menyelamatkan
diri dari tentera Kristian. Namun tentera Kristian tidak berpuas hati kerana
tidak dapat menghapuskan orang Islam. Maka tersebarlah berita bahawa orang
Islam yang ingin selamat boleh menyelamatkan diri mereka dengan menaiki kapal
yang berlabuh di pelabuhan dan untuk memastikan berita itu benar mereka sendiri
pergi menyiasat adakah berita itu benar. Setelah pasti dengan khabar berita
itu, maka beramai-ramailah orang Islam Sepanyol ke pelabuhan dengan harapan
mereka boleh menyelamatkan diri dari tentera Kristian. Namun sebaliknya yang
berlaku. Tentera Kristian mengambil kesempatan menghapuskan umat Islam dengan
membakar rumah dan kapal-kapal di pelabuhan dan orang-orang Islam di Sepanyol
dibunuh beramai-ramai termasuklah lelaki, perempuan dan kanak-kanak pada tanggal
1 April. Inilah hari yang diraikan oleh rakyat Sepanyol setiap tahun untuk
mengingati kemenangan tentera Kristian ke atas orang Islam yang dibunuh oleh
mereka dan inilah sejarah yang mengaitkan April Fool dengan orang Islam.
Namun malangnya
tarikh ini disambut juga oleh sesetengah umat Islam di seluruh dunia. Banyak
sejarah April Fool yang dipaparkan di dalam internet hingga ke akhbar untuk
mengingatkan umat Islam bahawa April Fool ini tidak digalakkan dalam Islam.
Sejak dari dahulu
lagi, terutamanya pelajar-pelajar yang tinggal di asrama, budaya April Fool ini
sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Setiap tahun menjelang 1 April, ramailah
yang menjadi mangsa dari sambutan April Fool. Bukan mangsa bunuh ataupun
rompakan tetapi mangsa kepada mereka yang suka mengenakan dan menganiayai orang
lain. Sedangkan Islam sangat melarang kita menganiayai orang lain dengan niat
yang jahat. Muka diconteng,
barang disorok dan sebagainya menjadi kebiasaan pada hari April Fool.
Dari sini kita boleh
ketahui apakah relevan dan faedahnya dengan April Fool ini. Menganiayai,
menipu, menghina, menyakitkan hati, dan perasaan orang lain, semuanya buruk dan
tidak berfaedah tentang April Fool. Sepertimana firman Allah yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kaum laki-laki menghinakan
kaum laki-laki (yang lain), kerana boleh jadi kaum yang dihinakan itu, lebih
baik dari kaum yang menghinakan, dan jangan pula kaum perempuan (menghinakan)
kaum perempuan yang lain, kerana boleh jadi perempuan yang dihina itu, lebih
baik dari perempuan yang menghinakan. Janganlah kamu cela-mencela sesama kamu
dan jangan pula panggil-memanggil dengan gelaran (yang tidak baik).
Seburuk-buruk nama ialah fasik sesudah keimanan. Barang siapa yang tidak
bertaubat, maka mereka itulah orang yang aniaya."
Surah Al-Hujurat: 48
Namun mengapa ianya
terus menerus disambut dan dilakukan oleh sebahagian masyarakat Islam
terutamanya di Malaysia.
Rakyat Malaysia sememangnya
banyak terdedah dengan budaya Barat yang telah lama bertapak di Malaysia sejak dari dulu lagi. Valentine's Day dan
sebagainya telah lama disambut di Malaysia
dan umat Islam juga tidak terkecuali untuk menyambutnya. Kata mereka ianya
nampak lebih moden dan cool untuk disambut.
Tanpa disedari,
sambutan-sambutan sebeginilah yang akan menghancurkan dan merosakkan maruah
umat Islam sedikit demi sedikit. Bayangkan sekiranya sejarah pembunuhan umat
Islam pada 1 April di Sepanyol itu adalah sejarah yang betul-betul mengaitkan
kita dengan April Fool, maka apakah pandangan Barat apabila melihat umat Islam
turut sama menyambutnya. Menyambut hari dimana kekejaman tentera Kristian
terhadap umat Islam dan tipu daya yang telah dilakukan oleh mereka kepada umat
Islam. Sudah tentu mereka menganggap umat Islam mudah terpadaya dengan tipu
daya Barat sepertimana yang mereka anggap umat Islam telah diperbodohkan oleh
mereka suatu masa dahulu. Adakah kita mahu dianggap oleh dunia seperti itu?
Menjadi umat yang tidak tahu menjaga maruah agama sendiri.
Kesimpulannya,
walau apa pun sejarah ataupun walau apapun yang terjadi pada 1 April samaada
ianya berkaitan dengan agama Islam atau tidak, umat Islam tidak sepatutnya dan
tidak harus menyambut dan membudayakannya kerana sudah jelas ianya berasal dari
Barat dan tidak ada faedahnya. Umat Islam hendaklah berfikiran secara rasional
tentang perkara-perkara ini kerana tujuan utama Barat adalah untuk menghapuskan
dan menjatuhkan kedudukan dan maruah umat Islam di mata dunia.
Fikirkan dan renung-renungkanlah........
Disediakan oleh,
Bahagian Dakwah,
Jabatan Agama Islam Selangor
|