SRAI SEKSYEN 19 JUARA PIALA DYTM RAJA MUDA SELANGOR

SHAH ALAM, 18 NOVEMBER 2017: Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, Shah Alam berjaya merangkul gelaran Juara Piala DYTM Raja Muda Selangor Edisi 30/2017 buat kali pertama selepas menewaskan SK Seksyen 24 dengan mata jaringan 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang SUK Selangor hari ini.

SRAI Seksyen 19 telah membuka tirai jaringan melalui pemain yang memakai jersi nombor 13, Muhammad Arif Danish bin Jafri. SK Seksyen 24 bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Memasuki separuh masa kedua, ketua pasukan SRAI Seksyen 19, Muhammad Akid bin Zamri yang menyarung jersi nombor 11 berjaya menambah jaringan menjadikan kedudukan 2-1. Pasukan SRAI Seksyen 19 berjaya mengukuhkan lagi kedudukan dengan jaringan gol ke-3 hasil tandukan pemainnya, Muhammad Arif Danish bin Jafri. Secara keseluruhannya, pasukan SRAI Seksyen 19 berjaya menguasai perlawanan pada separuh masa kedua.

Upacara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Tuan Amiruddin bin Shari, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.

Pemain SRAI Seksyen 19, Muhammad Arif Danish bin Jafri dipilih selaku pemain terbaik perlawanan akhir, sementara Muhammad Akid bin Zamri memenangi anugerah Penjaring Terbanyak keseluruhan kejohanan.

Selaku juara, SRAI Seksyen 19 membawa pulang piala dan wang tunai sebanyak RM4,000. Sekalung tahniah kepada pasukan bola sepak SRAI Seksyen 19 termasuk pengurus dan barisan kejurulatihan serta pentadbir sekolah yang tanpa jemu memberi dorongan dan sokongan padu terhadap para pemainnya sehingga berjaya merangkul gelaran johan Piala DYTM Raja Muda Selangor buat kali pertama. Semoga kecemerlangan SRAI Seksyen 19 ini dapat diteruskan pada masa hadapan, bukan sahaja cemerlang dalam urusan duniawi tetapi juga ukhurawi dan seterusnya mendapat rahmat, keberkatan dan keredhaan dari Allah SWT, menjadi aspirasi kepada sekolah rendah agama yang lain.

Piala DYTM Raja Muda Selangor mula diperkenalkan sejak tahun 1988 hasil cetusan idea Raja Muda yang ketika itu merasmikan Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Shah Alam. Dalam titah Baginda pada tanggal 24 Oktober 1987 mencadangkan supaya sekolah rendah di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan pertandingan bola sepak sebagai aktiviti tahunan. Baginda juga berkenan mengurniakan sebuah piala pusingan untuk kejohanan itu yang awalnya dikenali sebagai ‘Pesta Bola Sepak Piala DYTM Raja Muda Selangor Darul Ehsan’. Kejohanan kali pertama diadakan pada 6 Julai 1988. Kini 'Pesta Bola Sepak Piala DYTM Raja Muda Selangor Darul Ehsan’ turut menjadi pertandingan elit bagi kawasan pentadbiran MPSJ.


Keputusan Final Piala Raja Muda Selangor Edisi 30/2017:
SRAI Seksyen 19 3-1 SK Seksyen 24

Johan : SRAI Seksyen 19
Naib Johan : SK Seksyen 24
Ketiga : SK Subang Bestari 2
Keempat : SK Seksyen 20

Pemain Terbaik: Muhammad Arif Danish bin Jafri (SRAI Seksyen 19)
Penjaring Terbanyak: Muhammad Akid bin Zamri (SRAI Seksyen 19)

Sumber : Jabatan Agama Islam Selangor

SRAI Seksyen 19 Juara Piala DYTM Raja Muda Selangor
SRAI Seksyen 19 Juara Piala DYTM Raja Muda Selangor