SIMPOSIUM KELUARGA BAHAGIA: CABARAN DAN HARAPAN DI ERA SIBER

24 APRIL 2018 – Dalam usaha meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai harapan menuju kebahagiaan kehidupan berkeluarga dalam masa yang sama menangani cabaran-cabaran yang bakal dilalui, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menganjurkan Simposium Keluarga Bahagia: Cabaran Dan Harapan Di Era Siber, bertempat di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Majlis telah berlangsung seawal jam 8.30 pagi dan dimulakan dengan Ceramah dan sesi soal jawab yang berbentuk Perkongsian Pengalaman Hakim Syarie, bertemakan “Retak Menanti Belah”. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Tuan Muhammad Hisyam Bin Zakaria, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Jabatan Kehakiman Selangor (JAKESS). Kemudian diteruskan lagi dengan penyampaian ceramah oleh Tuan Hj. Mohammad Zamri bin Mohamed Syapik, Pengarah Jabatan Pengawasan Rangkaian Media, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM), yang bertajuk “Cabaran Terjahan Dunia Siber: Kau, Aku dan Dia”.

Selesai sesi ceramah tersebut, majlis diteruskan dengan perasmian oleh, Sahibus Sa’adah, Dato’ Haji Haris Bin Kasim, Pengarah JAIS, sebelum diteruskan dengan agenda terakhir iaitu slot forum yang menampilkan En. Zulkhairi Bin Jaid, Pegawai Hal Ehwal Islam, Daerah Gombak, sebagai moderator bersama tiga orang panel jemputan bagi membahaskan mengenai “Cabaran Kehidupan: Pilihan Perpisahan Demi Kebahagiaan”. Antara ahli panel ialah, Tuan Hj Abdul Halim Hapez Bin Salihin selaku Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Y.A. Puan Noor Huda Binti Roslan, Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dan akhir sekali, Pn. Yuhaniz Binti Mohd Yusop, Pegawai Runding Cara / Kaunselor Berdaftar, Pejabat Agama Islam Daerah Klang.

Disediakan oleh: 

Seksyen Komunikasi Korporat
Unit Korporat
Jabatan Agama Islam Selangor