RAUDHATUL JANNAH JUARA PENDAKWAH MUSLIMAH 2018

Peserta muda program realiti tv Al-Hijrah telah mencatat sejarah apabila berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan bagi program Pentas Akhir Pendakwah Muslimah 2018, pada malam ini. Raudhatul Jannah binti Mohd Rozli ialah anak keempat daripada sembilan orang adik beradik dan merupakan anak kelahiran Shah Alam, Selangor. Raudhatul Jannah atau lebih dikenali sebagai Raudhah ini mempunyai impian yang sangat jelas dan bercita-cita tinggi dalam perjuangan dakwahnya. Dengan tagline ‘Dakwah Bilhikmah Pasti Kemah’, Raudhah bercita-cita untuk menjadi insan yang berguna pada diri, keluarga, agama, masyarakat, bangsa dan negara serta berjaya di dunia dan di akhirat.

Menariknya lagi, peserta berusia 23 tahun ini adalah penuntut tahun akhir dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media, Minor Ilmu Wahyu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan telah mendapat pengajian awal di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah Seksyen 11, Shah Alam. Dengan latar belakang pengajiannya ini, tidak hairan bagaimana Raudhah mempunyai ilmu agama yang mendalam seterusnya berjaya menarik perhatian para juri dengan pelbagai kupasan dan idea yang bernas.

Bukan itu sahaja, Raudhah juga sangat bergiat aktif dalam persatuan dan organisasi pelajar di UIAM sendiri. Dengan memegang jawatan sebagai Naib Presiden 1 Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2017/2018, keperibadian dan profesionalisme Raudhah terserlah. Perwatakannya yang mudah tersenyum menjadikan dirinya lebih mudah didekati oleh rakan sekeliling dan masyarakat umumnya.

Raudhatul Jannah sewaktu ditemu ramah menyedari bahawa kemenangannya ini bukanlah suatu titik akhir bagi perjalanannya sebagai Pendakwah Muslimah, bahkan beliau percaya bahawa kemenangannya ini merupakan detik permulaan serius yang perlu diambil bagi menggerakkan langkah ummah di masa akan datang. Beliau yakin bahawa kemenangannya ini, merupakan satu kelebihan bagi dirinya untuk bergiat dengan lebih aktif dalam bidang dakwah sehingga ke penghujung hayatnya.

Kemenangan Raudhatul Jannah sebagai Juara Pentas Akhir Pendakwah Muslimah 2018 melayakkan dirinya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 5,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor, pakej umrah serta sebuah trofi.

JUARA PENDAKWAH MUSLIMAH 2018
Disediakan oleh: 

Seksyen Komunikasi Korporat
Unit Korporat
Jabatan Agama Islam Selangor