Penyelidikan dan Pembangunan (RnD)

 

Pengenalan

Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diwujudkan selaras dengan kewujudan Jabatan Agama Islam Selangor di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada tahun 1953. Pada awal kewujudannya, Bahagian ini diletakkan di bawah Bahagian Penyelidikan dan Fatwa. Walau bagaimanapun, di atas faktor peranan Bahagian Fatwa yang semakin berkembang telah mencetuskan cadangan bagi mewujudkan Jabatan Mufti dan telah diluluskan pada tahun 1998. Bermula pada tarikh itu, Bahagian Penyelidikan dengan rasminya dikenali sebagai Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan.

Pada peringkat awal, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, JAIS hanya memberi tumpuan kepada aspek penyiasatan dan pemantauan aduan mengenai akidah, bahan penerbitan berunsurkan Islam serta aduan awam mengenai halal dan haram. Pada Jun 2001, Unit Halal diwujudkan sebagai sub-unit di Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, JAIS sekaligus bertanggungjawab dalam proses pensijilan halal. Secara tidak langsung, Bahagian ini bertanggungjawab dalam perkara-perkara yang berkaitan penyelewengan bahan-bahan penerbitan dan produk-produk komersil yang berunsurkan Islam serta pengeluaran sijil dan logo halal bagi premis makanan, kilang-kilang dan pusat sembelihan.

Tanggungjawab dan perkembangan Bahagian ini semakin bertambah penting dengan lonjakan ke hadapan Unit Halal melalui pelaksanaan sistem online e-halal yang bermula pada 1 Januari 2012. Permohonan untuk pensijilan halal telah meningkat hampir dua (2) kali ganda dari tahun 2012 seterusnya sehingga JAIS mengambil inisiatif untuk menubuhkan satu Bahagian sendiri bagi pengurusan halal di Negeri Selangor. Justeru, bermula pada 1 Ogos 2015 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan pengwujudan Bahagian Pengurusan Halal, JAIS dan pengasingan secara rasmi dari Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, JAIS.

 


 

Visi
" Melahirkan umat Islam yang menjunjung ketertinggian prinsip-prinsip akidah, syariah dan akhlak. "

 


 

Misi
" Meneraju umat Islam bagi mendepani persoalan teras agama ke arah melahirkan pemahaman yang jitu dan penghayatan Islam syumul." 

 


 

Objektif

  1. Membendung secara berterusan kefahaman yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di kalangan umat Islam di Negeri Selangor.
  2. Mengemukakan Pendirian Islam Terhadap Isu dan Permasalahan Berbangkit Berkaitan Akidah, Syariah Dan Akhlak.
  3. Melaksanakan Kajian Perbandingan Terhadap Isu Dan Permasalahan Semasa.
  4. Memperkukuhkan Implementasi Dasar-dasar Islam Dalam Media.