PEMERIKSAAN KE ATAS PREMIS PENYEMBELIHAN & PEMPROSESAN AYAM

SEMENYIH, 17 OKTOBER 2017 – Hasil pemeriksaan ke atas sebuah premis penyembelihan dan pemprosesan ayam mendapati premis tersebut menggunakan perbahasan halal ke atas ayam yang telah diproses.

Pemeriksaan ini dilakukan hasil daripada aduan awam yang telah diterima oleh Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Selangor. Pemeriksaan ke atas premis tersebut telah berlangsung selama lebih kurang 4 jam, bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 11.30 pagi.

Selain Jabatan Agama Islam Selangor, pemeriksaan itu turut melibatkan Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor (KPDNKK), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).

Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan mendapati bahawa premis tersebut turut menggunakan khidmat warga asing untuk proses penyembelihan dan tidak mempunyai kad tauliah penyembelihan.

Ekoran daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 1098 ekor ayam yang telah dibungkus serta plastik pembungkusan yang menggunakan perbahasan halal telah disita bagi tujuan siasatan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor dibawah Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) Akta Perihal Perdagangan 2011.

Arahan penutupan premis di bawah peruntukan Seksyen 11, Akta Makanan 1983 juga telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor kerana faktor kebersihan dan kegagalan pemilik premis melaksanakan kawalan makhluk perosak.

Pihak MPKJ juga telah mengeluarkan Notis Tawaran Kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan MPKJ 2007 kerana pekerja tidak mengambil suntikan typhod dan Undang-undang Kecil Perlesenan Tred dan Perindustrian MPKJ 2007 kerana faktor sisa kebersihan. Premis tersebut telah mengaburi pembeli dengan mempamerkan pengakuan jaminan halal sedangkan cara pengurusan penyembelihan diragui dan dari segi kebersihan premis amat memerlukan tindakan yang segera daripada pihak kesihatan.

Sekian. Terima kasih. Wassalam.

PEMERIKSAAN KE ATAS PREMIS PENYEMBELIHAN & PEMPROSESAN AYAM
PEMERIKSAAN KE ATAS PREMIS PENYEMBELIHAN & PEMPROSESAN AYAM
Disediakan oleh: 

AZLINDA BINTI AZMAN
P.P.T
Timbalan Pengarah (Pengurusan)
Jabatan Agama Islam Selangor